Wednesday, November 6, 2013

KENAPA HATI MENJADI KERAS

"Daripada Ibnu Umar ra berkata: Rasulullah saw bersabda: Janganlah memperbanyak percakapan selain untuk berzikir kepada Allah swt,maka sesungguhnya banyak bercakap selain daripada berzikir kepada Allah swt itu adalah menyebabkan hati seseorang menjadi keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah swt ialah mereka yang berhati keras." (H.R Tirmizi) Ketandusan jiwa pada hari ini adalah suatu penyakit yang sangat ketara sekali ditengah-tengah masyarakat. Banyak orang susah hati, gelisah dan merasakan ketenangan fikiran dalam kehidupan walaupun ia telah memiliki segala kemudahan yang dihasilkan oleh teknologi moden pada hari ini, bahkan jutaan wang telah dimilikinya, namun kepuasan hidup masih belum lagi dapat dirasainya. Ini semuanya berpunca dari hati yang keras, jiwa yang tandus dan mata yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah swt. Kemudian kekerasan hati ini pula adalah berpunca daripada banyak bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak ada hubungkait dengan mengingati Allah swt. Oleh itu orang beriman hendaklah ia selalu menggunakan lidahnya untuk berzikir kepada Allah swt. ataupun bercakap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama yang dapat memberi faedah dalam meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt. atau paling kurang bercakap perkara keduniaan yang dijadikan wasilah ataupun alat yang dapat membantunya untuk menambah apa jua jenis ketaatan yang akan dicatitkan dalam suratan amal kebajikan pada hari kiamat nanti atau kalau tidak mampu juga berbuat demikian hendaklah dia berdiam sahaja jangan banyak bercakap. Kenyataan yang selalu ternampak dihadapan mata kita ialah wujudnya orang--orang yang banyak membuang masa bercakap-cakap perkara yang tidak berfaedah, bahkan ada yang berani bercakap perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum-hukum syara' dan berani bercakap sambil merendah-rendahkan ajaran agama yang boleh menyebabkan kefasiqan dan terkadang boleh menyebabkan kekufuran. Hati yang keras adalah hati yang tidak mudah menerima nasihat daripada orang lain. Kalau ditegur ia selalu melenting dan menunjukkan rasa besar diri, pantang ditegur dan tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh orang lain. Hati yang keras sentiasa mendorong untuk membuat maksiat dan kejahatan dan merasa mendorong untuk membuat maksiat dan kejahatan dam merasa berat untuk berzikir atau membaca Al-quran dan sangat malas untuk melaksanakan segala jenis ibadat yang diwajibkan Allah swt. Kalau masuk waktu sembahyang ia merasa terbeban dengan ibadat sembahyang itu bukan merasa bertuah kerana berpeluang untuk sekali lagi berhadapan dengan Allah swt. dan kalau sudah sembahyang, maka badannya sahaja yang sembahyang, sedangkan hatinya pergi merayau ke sana dan ke mari. Tetapi kalau mahu melihat suatu pertunjukan yang melalaikan daripada mengingati Allah swt. hatinya selalu terpanggil ke sana. Dia sanggup bersusah payah untuk sampai ke sana dan merasa ringan walaupun ia terpaksa untuk mengorbankan apa jua yang diperlukan asal sahaja maksud di hati dapat tercapai.

No comments:

Post a Comment